Selasa, 31 Januari 2017

Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras


Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras merupakan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan yang terletak di Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras memiliki 910 pelajar lelaki dan 752 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1662 orang. Ia mempunyai seramai 127 orang guru.

Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras atau lebih dikenali sebagai Sekolah Jalan Cheras, SMKC atau SMK Cheras atau " Sekolah Kunci " adalah sebuah
sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1964. Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras terletak di Jalan Yaakob Latiff, Bandar Tun Razak iaitu kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur. Beberapa bangunan berhampiran dengan sekolah ini ialah Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Maktab Perguruan Ilmu Khas, Sekolah Menengah Sains Alam Shah, dan yang paling hampir sekali ialah gelanggang lumba basikal bandaraya, Velodrom Kuala Lumpur dan sebuah medan selera.

Sekolah yang terletak di kawasan seluas 14.6 ekar ini boleh menampung murid yang berbilang kaum, lelaki dan perempuan sekitar Cheras. Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1964 sebagai sebuah sekolah menengah aliran Inggeris. Pada peringkat awalnya, banyak masalah dan kekurangan yang dihadapi. Murid-muridnya terpaksa ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Cochrane, iaitu menumpang bangunan sekolah itu pada sebelah petangnya. Apabila bangunan sekolah telah siap, ia dibuka dan digunakan secara rasminya pada 27 Mac 1969 oleh YB Encik Mohamed Khir Johari. Bermula dengan hanya 519 orang murid dan 21 orang guru pada awal penubuhannya, Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras berkembang dari tahun ke tahun. Setelah sekolah ini bertembung dengan 11 orang pengetua, sekolah ini mempunyai 9 blok utama, 3 buah pondok, sebuah surau, 2 buah gimnasium, 7 gelanggang Pendidikan Jasmani, iaitu Gimnasium 1 dan 2, padang sekolah, gelanggang tenis, gelanggang bola keranjang, gelanggang bola tampar, gelanggang sepak takraw dan bola jaring, dan 2 gelanggang badminton.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan